Adam
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu
Sesungguhnya aku adalah Hawa
Temanmu yang kau pinta semasa di syurga dahulu
Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok
Jadi tidak hairanlah jika perjalanan hidupku
Sentiasa inginkan bimbingan darimu
Sentiasa terpesong dari landasan
Kerana aku buruan Syaitan
Adam
Maha Suci ALLAH yang mentakdirkan
Kaumku lebih ramai dari kaummu di akhir zaman
Itulah sebenarnya kelebihan ALLAH dalam urusanNya
Jika bilangan kaummu melebihi kaumku
Nescaya akan merahlah dunia kerana darah manusia
Kacau bilaulah suasana
Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa
Buktinya cukup nyata dari peristiwa Qabil dan Habil
Sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya
Pun jika begitu maka tidak selaraslah undang2 ALLAH
Yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu
Tapi tidak lebih dari empat pada satu waktu
Adam
Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku
Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merunsingkan aku
Tapi…aku risau, gundah gulana menyaksikan tingkahmu
Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk
Ketika menjadi isterimu
Namun…terasa berat pula untukku menyatakan isi perkara
Adam
Aku tahu bahawa dalam al-Quran
Ada ayat yang menyatakan
Kaum lelaki adalah menguasai terhadap kaum wanita
Kau diberi amanah untuk mendidik aku
Kau diberi tanggungjawab untuk menjaga aku
Memerhati dan mengawasi aku
Agar sentiasa di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu
Tapi Adam
Nyata dan rata-rata
Apa yang sudah terjadi pada kaumku kini
Aku dan kaumku ramai yang telah menderhakaimu
Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang ditetapkan
Asalnya ALLAh mengkehendaki aku tinggal tetap di rumah
Di jalanan, di pasar, di bandar bukan tempatku
Jika terpaksa aku keluar dari rumah
Seluruh tubuhku mesti ditutup
Dari hujung rambut sampai hujung kaki
Tapi…realitinya kini, Hawa telah lebih dari sepatutnya
Adam
Mengapa kau biarkan aku begini
Aku jadi ibu, aku jadi guru, itu sudah tentu katamu
Aku ibu dan guru kepada anak-anakmu
Tapi sekarang di waktu yang sama
Aku ke muka menguruskan hal negara
Aku ke hutan memikul senjata
Padahal kau duduk saja
Ada di antara kau yang menganggur tiada kerja
Kau perhatikan saja aku panjat tangga di pejabat bomba
Kainku tinggi menyingsing peha mengamankan negara
Apakah kau tidak lagi seperti dulu
Apakah sudah hilang kasih sucimu terhadapku
Adam
Marahkah kau jika kukatakan andainya Hawa terpesong
Maka Adam yang patut tanggung
Kenapa? Mengapa begitu Adam?
Ya! Ramai orang berkata jika anak jahat
Ibu bapa tak pandai didik
Jika murid bodoh
Guru yang tidak pandai mengajar
Adam
Kau selalu berkata
Hawa memang degil
Tak mahu dengar kata
Tak mudah makan nasihat
Kepala batu pada hematku yang daif ini
Adam
Seharusnya kau tanya dirimu
Apakah didikanmu terhadapku
Sama seperti didikan Nabi Muhammad SAW
Terhadap isteri-isterinya
Adakah akhlak Adam
Boleh dijadikan contoh terhadap kaum Hawa
Adam
Kau sebenarnya IMAM dan aku adalah makmummu
Aku adalah pengikutmu
Kerana kau adalah ketua
Jika kau benar, maka benarlah aku
Jika kau lalai, lalailah aku
Kau punya kelebihan akal manakala aku kelebihan nafsu
Akalmu sembilan nafsumu satu
Aku…akalku satu nafsuku beribu
Dari itu Adam, pimpinlah tanganku
Kerana aku sering lupa dan lalai
Sering aku tergelincir ditolak sorong
Oleh nafsu dan kuncu-kuncunya
Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah ALLAH
Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari Tuhanmu
Agar menerangi hidupku
Tiuplah roh jihad ke dalam dadaku
Agar aku menjadi Mujahidah kekasih ALLAH
Adam
Seandainya aku masih lalai dengan karenahmu sendiri
Masih segan mengikut langkah para sahabat
Masih gentar mencegah mungkar
Maka kita tunggu dan lihatlah
Dunia ini akan hancur bila kaumku yang memerintah
Malulah engkau Adam
Malulah engkau pada dirimu sendiri
Dan pada Tuhanmu yang engkau agungkan itu
Saturday, June 5, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)








No comments:
Post a Comment